>>> LAFAZ YANG TERSIMPAN <<<
by: mAzz
PART 1
Kicauan beburung di kala pagi yang dingin itu tidak dapat mendamaikan keresahan yang bergolak di pangkal hati Mursyidee. Selembut bayu yang menyapa pinggir hatinya sama sekali tidak dapat melerai kekusutan yang bersimpul mati di sudut fikirannya. Mursyidee termangu, termenung dalam kesepian sendiri. Terasa begitu asing di bumi sendiri. Apalagi di sudut hati wanita yang selama ini diidam, terasing dalam kesamaran.
Akukah yang terlewat..? bisik hati kecil Mursyidee. Sarat pilu yang digalas bagaikan sudah tidak tertanggung lagi oleh hatinya yang satu itu. Tiada siapa yang sudi untuk memahami citra pilu yang terbelenggu di sebalik perasaannya selama ini. Dan kini kepiluannya berlagu sendu sendiri tanpa perhatian dari insan yang sentiasa menjadi pengubat lukanya.
” Ira, semoga Ira bahagia bersama Irham. Syidee sentiasa mendoakan kebahagiaan Ira. Maafkan Syidee yang tak dapat memahami Ira.’’ Begitu kata-kata yang sempat diucap lewat berpisah tatkala petang yang merembang sayu. Insyirah sudah tidak mahu menatap wajahnya lagi. Hati Insyirah sudah nekad untuk melupakan seraut wajah yang begitu disayangi suatu tika dulu. Lantaran isi hati yang tidak terluah, akhirnya memakan diri sendiri. Terasa berat kaki Mursyidee melangkah untuk meninggalkan segenap impian yang pernah terukir di sepanjang sejarah kenangannya. Tak seberat ini dirasakan saat hatinya suatu tika dulu yang begitu berat untuk meluah perasaan sayang yang bergolak di lubuk jiwa dan hatinya terhadap gadis ayu bernama Insyirah itu.
” Jangan minta maaf pada Ira. Tak ada apa yang dapat Ira maafkan untuk Syidee. Ira tak mau salahkan Syidee atas apa yang dah berlaku. Biarlah Ira tanggung sendiri setiap kelukaan yang tercipta untuk Ira ini.” ucap Insyirah bersama deraian air mata.
Ah...Ira, jangan menangis sayang.. Kalaulah dapat aku sapukan air matamu itu, pasti akan ku dakap penuh erat agar dirimu tiada bersedih lagi. Tapi apalah dayaku. Aku bukan siapa-siapa di hatimu. Aku bukan teristimewa di jiwamu, hati kecil Mursyidee berbisik, dan terus-terusan berdetak kencang saat menatap air mata Insyirah tumpah satu-persatu. Ingin sahaja diusap kepala Insyirah agar kesedihannya dapat diredakan. Ingin sekali dia memujuk Insyirah agar jangan menangis sebegitu. Sayu sekali hati Mursyidee.
” Ira..jangan cakap macam tu. Syidee tahu Syidee yang salah. Syidee buat Ira tertunggu-tunggu. Tapi fahamilah, bukan niat Syidee untuk buat macam tu. Syidee tak tahu yang Ira sebenarnya tunggu Syidee. Bodohnya Syidee kerana tak faham apa yang Ira rasai. Kalaulah Syidee tahu…” penyesalan Mursyidee tak akan sudah, lantaran melepaskan impiannya yang hampir tercapai berlalu begitu sahaja di depan matanya.
“ Jangan ungkit lagi kisah lama. Ira tak mahu kenang lagi apa yang dah berlalu. Setiap detik yang Ira tanggung kerana menunggu Syidee terasa perit sangat-sangat. Semua ni bagaikan membunuh jiwa Ira. ” suara Insyirah tersekat-sekat dalam sedunya yang pilu.
” Betul apa yang Ira cakapkan. Syidee se
dar semua ni berpunca daripada Syidee sendiri. Syidee takut untuk menghadapi kenyataan. Syidee takut Ira akan menolak kasih Syidee macam tu aje. Sebab tu Syidee takut untuk memulakan dulu.” Mursyidee menatap wajah kesayangannya dengan penuh kesayuan di hati. Perasaannya berkecamuk.
” Tapi kenapa sekarang baru Syidee berani berdepan? Syidee dah yakin sangat ke sekarang ni Ira akan terima Syidee? Setelah hati ni Ira dah beri pada orang lain, Syidee ingat Ira akan ambil balik hati Ira tu dan serahkan pada Syidee?” tangis Insyirah sudah tidak tertahan lagi.
” Bukan macam tu Ira. Memang sekarang Syidee dah ada keberanian tu. Tapi mungkin kerana Syidee terlewat sedikit, dan hati Ira rupanya sudah ada pada orang lain. Syidee tak minta pun Ira ambil balik hati Ira tu dan bagi pada Syidee. Itu hak Ira untuk sayang pada siapa pun. Mungkin Syidee tak layak untuk Ira.” kesal sungguh hati Mursyidee saat mengetahui Insyirah sudah disunting orang. Seluruh bumi dirasakan bergegar umpama jantungnya yang berdegup kencang tatkala melihat Insyirah bersama insan lain, bukan dirinya.
%%%%%%%%%%%%%
PART 2
Telefon bimbit yang kedengaran nyaring disambut penuh senyuman. Tertera nama seseorang yang dinanti selama ini di skrin telefon bimbit itu. Insyirah tersenyum girang, kerana hanya panggilan itu yang ditunggu-tunggunya saban detik.
” Hello assalamu’alaikum Ira.” sayup sekali suara dari jauh kedengaran di hujung telinganya.
” Wa’alaikumussalam Syidee.” sahut Insyirah penuh senyuman. Senyuman yang amat bermakna sekali.
” Ira apa khabar? Sihat tak hari ni?” pertanyaan itulah yang sama diajukan kepada Insyirah tiapkali menelefon insan yang disayanginya itu. Disayangi dalam diam. Begitupun, Insyirah tidak pernah jemu dengan pertanyaan yang serupa tiapkali mereka berbual di telefon. Bagi Insyirah, tidak pernah timbul erti bosan dan jemu di hatinya, asalkan semua perkara tersebut adalah daripada Mursyidee. Begitu tebal perasaannya terhadap Mursyidee.
” Alhamdulillah Ira sihat je. Cuma pening kepala je. Banyak sangat kerja hari ni kena buat. Syidee sihat? ” balas Insyirah dengan kuntum-kuntum senyuman. Alangkah manisnya senyuman itu.
” Kenapa ni sampai pening kepala pulak? Ira buat kerja banyak sangat ni. Lain kali jangan la buat banyak sangat kerja. Kesihatan penting tau, kena jaga selalu. Nanti sakit kalau tak jaga kesihatan tu betul-betul” risau betul Mursyidee dengan keadaan Insyirah yang kurang sihat. Tanpa menjawab pertanyaan Insyirah tadi, hanya kerisauan yang terlekat di hatinya memikirkan kesihatan Insyirah.
” Tengok..mula la tu doktor ni nak membebel, sampaikan tak jawab pun pertanyaan kita tadi. Nak tukar doktor lain lah kalau macam ni. Asyik membebel je..? ” seloroh Insyirah dalam gelak. Bahagia dirasakan.
Mursyidee turut tergelak. Rindu benar dia dengan suara ayu dan gelak manja Insyirah yang menghiasi hari-harinya. Insyirah mampu memberi bahagia padanya. Insyirah mampu menjadi pendamping yang setia buat dirinya. Begitu yakin sekali dirasakan yang Insyirah adalah gadis yang diidam selama ini.
” Eh..terlupa pulak Syidee nak jawab tadi. Syidee sihat. Tapi bila dengar Ira tak sihat ni, rasa macam tak sihat jugaklah” balas Mursyidee. Kata-katanya tersimpan makna. Kalaulah Insyirah tahu, detak hati kecilnya.
” Camtu pulak ye. Kelakarlah Syidee ni. Nanti kalau pesakit datang kat Syidee macam mana pulak, mesti Syidee akan jadi sakit macam pesakit tu jugak.” kata-kata Insyirah disambut dengan gelak yang panjang. Pandai betul Insyirah menceriakan keadaan. Tidak mahu Mursyidee terus-terusan risau akan keadaannya yang cuma pening sedikit sahaja.
” Iya lah tu tuan puteri. Ada-ada aje tak mahu kita risaukan dia. Apa pun jangan lupa makan ubat tau Ira. Ira ni dah lah susah nak makan ubat. Kalau Syidee ada kat situ, Syidee paksa aje Ira telan ubat-ubat tu semua.” sakat Mursyidee. Insyirah tergelak besar. Manja. Gelak tawa itulah yang menjadi pengubat hati Mursyidee. Suara itu yang terlalu dirindu. Terlalu diharap akan menghiasi kesuraman jiwa dan perasaannya. Sekian lama dipendam perasaan suci nan satu itu.
” Ok lah Ira, Syidee kena masuk kerja pulak ni. Dah habis masa rehat. Nanti Syidee telefon Ira lagi tau” ingin sahaja Mursyidee terus bersembang panjang dengan Insyirah. Masih belum puas dia mendengar lirik suara dan gelak tawa Insyirah yang dirasakan amat berharga itu. Namun tuntutan kerja yang masih bertimbun menunggunya membuatkan dia terpaksa mematikan perbualan yang dirasakan amat singkat dan sekejap itu. Biarlah sekejap pun, asalkan dapat mendengar suara yang disayang, bisik hati kecil Mursyidee. Tak siapa yang tahu, mahupun Insyirah.
” Ok. Terima kasih sebab sudi telefon Ira dan tanya khabar Ira. Jaga diri Syidee baik-baik tau. Jangan sakit pulak, nanti pesakit lari.” sempat lagi Insyirah bergurau di hujung perbualan itu, dan itulah yang membahagiakan Mursyidee sebenarnya. Teramat bahagia. Suara yang ceria itu bisa membunuh seribu kekalutan yang seringkali membadai di lubuk hatinya.
No comments:
Post a Comment